Kadar faedah dijangka naik

>> Sabtu, 30 Januari 2010

Langkah Bank Negara sokong pertumbuhan, beri pulangan menarik untuk penyimpan BANK Negara Malaysia membayangkan akan menaikkan kadar faedah ke paras yang sesuai, iaitu yang akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi, pada masa sama memberikan pulangan berdaya saing kepada penyimpan. "Bila kita menurunkan kadar faedah (ketika krisis kewangan global), ia adalah langkah kecemasan untuk mengelakkan kemelesetan ekonomi negara.

"Susulan itu kadar faedah diturunkan ke paras paling rendah dalam sejarah. Namun berdasarkan keadaan semasa, kami meninjau langkah menyelaraskannya semula ke tahap normal, tetapi ia bukan bermakna Bank Negara mengetatkan dasar kewangan negara," kata Gabenornya Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau menegaskan, dasar kewangan negara akan terus dipastikan menyokong pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam persekitaran inflasi yang sederhana. Zeti turut menafikan langkah yang bakal diambil oleh bank pusat itu berikutan sudah wujudnya risiko berlakunya 'gelembung aset' atau kenaikan yang keterlaluan harga hartanah dan harga saham di negara ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan ia lebih menjurus kepada usaha mengelakkan risiko berlakunya keadaan yang mana orang ramai mengeluarkan dana daripada instrumen tabungan lebih selamat kepada yang berisiko besar bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi. "Jika kadar faedah terlalu rendah dan (kekal) terlalu lama, ia boleh menyebabkan orang ramai memindahkan simpanan daripada sistem kewangan formal untuk menambah pulangan, sekali gus mendedahkan mereka dengan risiko yang lebih tinggi dan ini akan menimbulkan masalah kelak. "Justeru kita perlu meninjau langkah awal mengelakkan masalah itu berlaku, kerana jika ia berlaku, satu langkah drastik terpaksa diambil," katanya selepas menghadiri ceramah awam oleh Pemegang Pertama Kerusi Kewangan Islam INCEIF, Dr Abbas Mirakhor di Kuala Lumpur, semalam. Ketika kemuncak krisis kewangan global, Bank Negara menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 1.5 peratus antara November 2008 dan Februari tahun lalu, iaitu daripada 3.5 peratus kepada dua peratus dan kadar itu kekal sehingga kini.
OPR adalah penanda aras yang digunakan bank tempatan bagi menentukan kadar pinjaman asas (BLR) masing-masing. Sementara itu, ahli ekonomi menjangkakan Bank Negara mungkin memutuskan untuk menaikkan OPR seawal 4 Mac ini, iaitu pada menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari keduanya bagi tahun ini. Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank Bhd, Suhaimi Illias, berkata pihaknya menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR antara 0.5 hingga 0.75 peratus kepada antara 2.5 hingga 2.75 peratus bagi seluruh tahun ini. Berikutan itu katanya, BLR dianggarkan meningkat antara 0.4 hingga 0.6 peratus daripada kadar purata sekitar 5.53 peratus sekarang.

0 comments:

  © Blogger templates ISBAC 2010 by isbacuitmdungun.blogspot.com 2009

Back to TOP