pengenalan kepada sistem ekonomi

>> Selasa, 24 Mac 2009

eDARI TINTA PENASIHAT

PENGENALAN KEPADA SISTEM EKONOMI

Sistem ekonomi yang akan adil dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni tanpa ada penindasan. Matlamat – matlamat dan prinsip – prinsip yang terkandung dalam sistem ekonomi akan dapat membentuk satu rangka kerja ekonomi sesebuah negara. Di samping itu, sistem ekonomi yang dinamik adalah sistem yang dapat menyelesaikan dan menangani masalah – masalah ekonomi dengan efektif. Berikut adalah kupasan tentang apakah yang dimaksudkan dengan sistem ekonomi, komponen – komponen yang membentuk sistem ekonomi dan ciri – ciri yang membezakan sesebuah sistem ekonomi dengan sistem ekonomi yang lain.

( a ) Maksud Sistem Ekonomi :

Sistem boleh ditakrifkan sebagai satu set prinsip yang merupakan rangka kerja organisasi kegiatan ekonomi ( Kahf 1989 : 72 )
[1]. Prinsip yang diguna pakai dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi inilah yang dikenali sebagai sistem. Manakala ekonomi pula adalah satu sains sosial yang mengkaji bagaimana manusia menggunakan faktor – faktor pengeluaran yang terhad ini untuk memaksimumkan kehendak – kehendak atau kepuasan mereka. Kajian ini dijalankan secara saintifik[2]. Daripada kedua takrifan ini dapatlah disimpulkan bahawa sistem ekonomi adalah satu set prinsip yang yang mengandungi rangka kerja organisasi bagi setiap aktiviti ekonomi. Set prinsip ini, diasaskan oleh falsafah yang berkait rapat tentang aktiviti ekonomi. [3]

( b ) Komponen – Komponen Yang Membentuk Satu Sistem Ekonomi :

Sesuatu sistem ekonomi dibentuk oleh komponen – komponen yang tertentu. Khaf menegaskan bahawa terdapat tiga bahagian penting dalam satu – satu sistem ekonomi, iaitu falsafah, prinsip dan kendalian
[4].

Komponen yang pertama adalah falsafah ekonomi, ia dilengkapi dengan asas penting sesebuah sistem ekonomi iaitu : dibahagikan kepada pengeluaran, pengagihan, penggunaan, pembentukan teori prinsip-prinsip serta kaedah bagaimana ia berfungsi.
[5] Falsafah ekonomi ini terbina di atas doktrin yang berkaitan dengan kehidupan dan pegangan agama iaitu hubungan manusia dengan tuhannya. Sebagai contoh di dalam sistem ekonomi Kapitalis, falsafah ekonomi didasari oleh konsep “laissez faire” ( secara umumnya orang perseorangan boleh melakukan apa sahaja yang ia suka ) dan “invisible hand”.[6] Kesannya manusia tidak mempunyai landasan peraturan sebelum bertindak. Mereka bebas keluar masuk dalam pasaran dan mengaut keuntungan tanpa perlu berfikir tentang kebajikan masyarakat. Falsafah ekonomi Islam pula ditegakkan berdasarkan pegangan ajaran agama terhadap kehidupan, manusia dan Allah ( Khaf 1989:72)[7]. Antaranya adalah seperti tauhid, rububiyyah, khilafah, tazkiyyah dan sebagainya. Oleh itu, kelakuan Islamic Man dalam aktiviti ekonomi seharian mestilah berpaksikan falsafah – falsafah yang telah digariskan ini.

Komponen sistem ekonomi yang seterusnya adalah prinsip dan peraturan yang mengandungi aspek sosial, perundangan dan rangkakerja tindakan sistem itu.
[8] Ini termasuklah organisasi pemilikan, iaitu adakah pengeluaran dimiliki oleh pengusaha, orang awam ataupun negara. Komponen ini juga mengandungi norma – norma yang mengawal perilaku “economic man” dalam kegiatan ekonominya. Contohnya dalam sistem ekonomi Kapitalis konsep “laissez faire”, prinsip kebebasan individu menjadi pegangan utama. Individu bebas melakukan apa sahaja asalkan memperolehi keuntungan peribadi yang tinggi. Dengan ini wujudlah individu yang bersikap individualism dan utilitarianism.

Manakala komponen yang terakhir adalah kendalian. Alat kendalian bagi sesuatu sistem ekonomi adalah bergantung kepada rangka kerja sistem tersebut sebagaimana yang dibentuk oleh prinsip – prinsipnya. Bagi setiap sistem terdapat peraturan yang akan mengawal segala aktiviti ekonomi. Untuk mengendalikan prinsip ekonomi Islam, kaedah dan alat yang berkesan diperlukan. Choudhury (1986:14-17), membentangkan empat alat dasar kendalian bagi menukar prinsip ekonomi Islam menjadi amalan, iaitu zakat, mudarabah (qirad), penghapusan riba dan penghapusan pembaziran
[9].


( c ) Ciri – Ciri Yang Membezakan Sesebuah Sistem Ekonomi Dengan Sistem Ekonomi Yang Lain :

Ekonomi merupakan satu aspek yang amat penting di dalam aktiviti kehidupan manusia seharian. Daripadanya lahirlah masalah – masalah asas ekonomi.
[10] Sejak kurun ke – 18 lagi beberapa rangka organisasi sosial yang komperatif telah diaplikasikan dalam sistem ekonomi sesebuah negara. Ia merangkumi sistem ekonomi kapitalis, sosialis dan komunis. Akan tetapi sistem ekonomi Islam yang lahir semenjak turunnya Al – Quran merupakan satu sistem yang unggul dan efektif bagi menangani segala permasalahan yang timbul. Keempat – empat sistem ekonomi ini mempunyai pendekatan yang berbeza bagi menyelesaikan masalah – masalah asas ekonomi .

Terdapat beberapa ciri yang membezakan antara keempat – empat sistem ekonomi ini. Perbezaan utama yang dapat dilihat adalah dari sudut matlamat – matlamat, tujuan – tujuan dan prinsip - prinsip. Tujuan – tujuan dan prinsip – prinsip tersebut dikuasai oleh tiga gagasan : pemilikan, persaingan dan rasionalisme
[11].

Ciri yang pertama adalah pegangan dan sumber membuat keputusan. Ciri ini amat penting kerana ianya menjadi asas kepada pembentukan sistem ekonomi sesebuah negara. Perbezaan ini jelas ketara kerana sistem ekonomi Sosialis berpegang kepada konsep materialisme dan menjadikan akal manusia sebagai sumber hukum dan ekonomi. Manakala sistem ekonomi Kapitalis menjadikan sekularisme sebagai asas pegangannya serta menggunakan akal dalam membuat keputusan – keputusan ekonomi. Sistem ekonomi Komunis pula berpegang kepada konsep materialisme di dalam memansuhkan pemilikan harta benda serta membuat keputusan dengan menggunakan akal semata – mata. Berbeza pula dengan sistem ekonomi Islam yang menjadikan agama sebagai pegangan kerana adanya hubung kait di antara kegiatan di dunia dengan keagamaan. Al – Quran dan As - Sunnah menjadi pemandu akal manusia dalam membuat keputusan ekonomi.

Manakala ciri yang kedua adalah matlamat yang berbeza dalam kegiatan berekonomi. Setiap sistem ekonomi mempunyai matlamat yang tertentu dalam kegiatan ekonomi mereka. Keuntungan, kepentingan diri sendiri dan masyarakat serta kebajikan menjadi antara aspek yang pilihan sebagai motif utama utama. Sebagai contoh matlamat kegiatan ekonomi Sosialis adalah mencapai agihan kekayaan yang lebih baik menerusi tindakan pengusa demokratik terpusat dan seterusnya mencapai corak pengeluaran kekayaan yang lebih baik daripada yang wujud masakini.
[12] Berlainan pula dengan sistem Kapitalis. Keuntungan peribadi dianggap sebagai matlamat kerana menurut sistem itu, manusia tidak akan bekerja kecuali apabila ia mempunyai kepentingan peribadi[13] dalam pekerjaan[14]. Manakala sistem ekonomi Komunis pula ingin mencapai matlamat “memiliknegarakan” harta kekayaan negara. Mereka berkata tujuan pemansuhan pemilikan harta ialah untuk menjauhkan jurang ketaksamaan yang wujud antara anggota – anggota masyarakat, dan menyamaratakan darjat semua golongan masyarakat untuk mengakhiri sistem masyarakat berkelas.[15] Matlamat sistem ekonomi Islam pula dapat dilihat pada dua peringkat, iaitu matlamat perantaraan dan matlamat akhir[16]. Matlamat perantaraan adalah kepuasan, keperluan, kebaikan dan sebagainya. Pencapaian al – falah merupakan satu – satunya matlamat ( objektif ) unggul yang terpenting sebagai satu matlamat terakhir[17].

Prinsip – prinsip dalam sistem ekonomi juga turut membezakan antara satu sistem ekonomi dengan sistem yang lain. Pemilikan, persaingan dan rasionalisme menjadi aspek utama yang membezakannya. Contohnya bagi pemilikan sistem ekonomi Sosialis mengamalkan prinsip memiliknegarakan harta. Segala bentuk pengeluaran dan sumber pendapatan menjadi milik negara atau komuniti. Hak individu untuk memiliki harta atau segala kaedah pengeluaran tidak diiktiraf. Oleh yang demikian, individu lansung tidak mempunyai hak pemilikan
[18]. Akan tetapi di dalam sistem ekonomi Kapitalis setiap negara mengetahui hak kebebasan individu untuk memiliki harta persendirian. Setiap individu boleh memiliki, membeli dan menjual sebarang hartanya yang dikehendaki tanpa halangan. Individu mempunyai kuasa penuh terhadap hartanya dan bebas menggunakan sumber – sumber ekonomi menurut cara yang dikehendaki. Setiap individu boleh juga memiliki faedah – faedah yang diperolehi daripada pengeluaran dan pengagihan serta bebas untuk melakukan pekerjaan[19]. Berlainan pula dengan sistem ekonomi Kapitalis yang membuat penghapusan kesemua pemilikan individu ke atas tanah, lain – lain harta sebenar dan modal dan pemberian semua benda – benda ini kepada negara untuk ditadbir dan dieksploitasi bagi pihak masyarakat secara keseluruhannya. Ini dipanggil “penghaknegaraan” mutlak[20]. Manakala sistem ekonomi Islam pula mengiktiraf hak individu untuk memiliki harta. Walau bagaimanapun, ia memberikan batasan – batasan tertentu supaya kebebasan itu tidak menjejaskan kepentingan masyarakat umum.[21] Di dalam sistem ekonomi Islam juga segala yang ada dimuka bumi ini adalah milik Allah dan ia diberikan kepada manusia sebagai satu “ amanah “[22] Selain itu, persaingan dalam pasaran juga merupakan ciri yang membezakan satu sistem ekonomi dengan sistem ekonomi yang lain. Sebagai contoh sistem ekonomi ekonomi Kapitalis mengamalkan persaingan bebas dan monopoli manakala sistem ekonomi komunis menggunakan prinsip perancangan pusat. Bagi sistem ekonomi Islam pula stuktur persaingan dalam pasaran ialah kerjasama bebas dimana semua orang bebas keluar masuk pasaran. Persaingan yang dibenarkan oleh Islam adalah persaingan secara sihat dan terpimpin[23].

Konklusinya, sistem yang tertentu amat diperlukan oleh ekonomi sesebuah negara untuk menyelesaikan permasalahan ekonomi yang timbul. Namun begitu, sistem Ekonomi Islam adalah sistem ekonomi yang lengkap dan amat unik berbanding dengan sistem ekonomi yang lain.


Nota Hujung
[1] Surtahman Kastin Hasan ( 1996 ), Ekonomi Islam : Dasar dan Amalan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. h. 39.
[2] Hamzaid Yahya ( 1985 ), Ekonomi Mikro.Selangor : B & H Enterprise Sdn. Bhd. h. 2.
[3] Monzer Khaf ( 1989 ), “Islamic Economics System – A Review” dalam Aidit bin Ghazali dan Syed Omar bin Syed Agil (ed.) ( 1989 ), Reading In The Concept and Methodology Of Islamic Economics. Selangor : Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.h. 72.
[4] Surtahman Kastin Hasan ( 19 ), op.cit., h. 39.
[5] Monzer Khaf ( 1989 ), op.cit.,h.72.
[6] Ibid., h.73.
[7] Surtahman Kastin Hasan ( 19 ), op.cit., h.20.
[8] Ibid., h.73.
[9] Ibid., h. 36.
[10] Masalah asas dalam ekonomi yang penting terdiri daripada tiga masalah iaitu masalah kekurangan, pilihan dan kos melepas. Kewujudan masalah ini adalah disebabkan oleh kehendak manusia yang tidak terhad dan penawaran faktor – faktor pengeluaran yang terhad.
[11] M.A Mannan ( 1993 ), Ekonomi Islam : Teori dan Praktis. Terjemahan oleh Radiah Abdul Kader. Kuala Lumpur : A.S Nooeden. h. 11.
[12] Ibid., h.20.
[13] Kepentingannya ialah mendapat keuntungan untuk menampung perbelanjaan hidup seseorang dan keluarganya, untuk menabung ( menyimpan wang ) supaya ia boleh mengguna tabungannya apabila ia tidak boleh bekerja kelak samada kerana ia ingin berehat, sakit atau berusia tua, dan juga dengan menabung ia boleh membantu dirinya membeli peralatan baru atau memperbaharui cara – cara yang boleh menolongnya mencari nafkah, apabila peralatan ini menjadi lapuk atau rosak.
[14] A. Lababidi ( 1987 ), Ekonomi Islam Suatu Perbandingan. Terjemahan Yusuf Ismail. Kuala Lumpur : A.S Noordeen. h. 12.
[15] Ibid., h. 19.
[16] Surtahman Kastin Hasan ( 19 ),op.cit., h. 20.
[17] Ibid., h. 23.
[18] Afzal – Ur – Rahman ( 1994 ) , Doktrin Ekonomi Islam , Jilid 1,cetakan ke-2.Terjemahan oleh Mustafa Kassim. Kuala Lumpur : DBP. h. 5.
[19] Ibid., h. 2.
[20] A. Labadidi ( 1987 ), op.cit., h.18.
[21] Afzal – Ur – Rahman ( 1994 ), op.cit.,h. 8.
[22] M. Mansoor Alam ( 1996 ) Perspective On Islamic Economics. New Delhi : Institute of Objective Studies. h. 86.
[23] Persaingan yang sihat adalah bebas daripada unsur – unsur spekulasi, penyeludupan, monopoli, pembaziran, penyorokan dan sebagainya.

0 comments:

  © Blogger templates ISBAC 2010 by isbacuitmdungun.blogspot.com 2009

Back to TOP